Tumpuan :
Nasional

Kedai dirempuh kereta dipandu wanita sawan, peniaga cedera

Kereta Myvi yang dipandu seorang wanita terbabas dan merempuh sebuah kedai nasi lemak. -FOTO: Ihsan PDRM

JERANTUT: Seorang peniaga nasi lemak di Jalan Inderapura 17, Bandar Inderapura dekat sini cedera apabila kedainya dirempuh kereta yang dipandu wanita mengalami sawan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, dalam kejadian 9.30 malam itu, Wan Azmi Wan Ibrahim, 42, cedera di bahu dan mendapatkan rawatan di Hospital Jerantut.

Katanya, Perodua Myvi dipandu wanita berusia 22 tahun terlebih dahulu merempuh Perodua Viva milik peniaga nasi lemak itu sebelum masuk ke dalam kedai terbabit.

“Wanita berkenaan diserang sawan ketika kejadian dan dia mengalami kecederaan ringan serta pengsan di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Jerantut untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Wan Azmi berkata, ketika kejadian dia sedang berkemas untuk menutup kedainya.

Katanya, dia terlebih dahulu mendengar dentuman di hadapan kedai apabila kereta miliknya dirempuh Perodua Myvi terbabit sebelum terperosok ke dalam kedainya.

Menurutnya, mujur tiada pelanggan di dalam premis perniagaannya ketika kejadian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini