Tumpuan :
Nasional

Kedai borong hangus dalam kebakaran, peniaga rugi lebih setengah juta

Anggota Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu bertungkus-lumus memadam kebakaran yang membabitkan sebuah premis perniagaan di Jalan Pulau Kambing. FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga kedai borong, runcit dan barangan keperluan harian mengalami kerugian lebih setengah juta ringgit selepas premis perniagaannya terbabit dalam kebakaran di Jalan Pulau Kambing di sini pagi tadi.

Khoo Yok Kin, 79, berkata, dia mengusahakan perniagaan itu sejak 55 tahun lalu bersama isteri, Cho Yu Liang, 80, dan anak-anak.

Menurutnya, kejadian itu disedari pembantu rumah, Suprihatun, 42, ketika mereka sedang menikmati hidangan pagi apabila terlihat kepulan asap di satu sudut tingkat dua bangunan kedai berkenaan kira-kira jam 7 pagi.

“Sebaik menyedari kejadian itu, pembantu rumah segera bawa saya dan isteri turun ke tingkat bawah kedai dan tindakan pantasnya itu dapat menyelamatkan kami daripada terperangkap di dalam bangunan,” katanya.

Sementara itu, Suprihatun berkata, dia yang sedang memasak air terlihat kepulan asap dan menyangka asap itu berpunca daripada cerek air yang digunakan.

FOTO: NSTP

“Apabila saya lihat, air masih penuh di dalam cerek barulah saya sedar kepulan asap datang dari arah lain sebelum cuba memadamnya namun gagal.

“Saya terus membawa majikan turun untuk menyelamatkan diri berikutan ruangan tingkat dua yang kami huni sudah dipenuhi asap tebal,” katanya.

Anak kepada pemilik kedai, Koh Peng Cheong, 47, berkata, dia mengetahui kejadian itu ketika menghantar anaknya ke sekolah selepas dihubungi ibunya.

“Saya terus ke kedai dan melihat api sedang marak dan usaha untuk naik ke tingkat dua bangunan juga gagal.

“Stok barang jualan juga banyak kerana setiap hari stok ditambah dan kerugian dianggarkan melebihi RM500,000 membabitkan kesemua barangan yang musnah dalam kebakaran ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan jam 7.42 pagi.

Katanya, api dapat dikawal dalam tempoh 20 minit dan pihaknya turut dibantu BBP Jalan Kota dan Marang dengan menggunakan empat jentera pemadaman dan masing-masing satu jentera bertangga serta sebuah lori tangki air.

“Seramai 50 pegawai dan anggota terbabit dalam kerja pemadaman bangunan berkenaan dan kita turut menghadapi kesukaran berikutan terlalu banyak stok makanan ringan dan barangan keperluan mudah terbakar di dalam premis berkenaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini