comscore
Tumpuan :
Nasional

Kedah komited usahakan eksport ketum jika PN tawan Putrajaya – Sanusi

Menteri Besar Kedah, Datuk Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Majlis Pelancaran ‘PN Best’ dan manifesto PN Negeri Kedah di sini, malam tadi.

Oleh Kumaran Rajamoney

PENDANG: Kerajaan negeri Kedah akan meneruskan usaha memohon kebenaran dari kerajaan Persekutuan bagi mengeksport ketum ke negara jiran dalam usaha memperkasakan ekonomi di negeri itu.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan usaha itu lebih mudah sekiranya Perikatan Nasional (PN) memegang tampuk kepimpinan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Saya yakin kita akan mengusahakan sesuatu kepada penanam ketum sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat menjadi Perdana Menteri kita yang ke-10, InsyALLAH. Kita usahakan sampai ia terlaksana.

“Sekarang ketum dijual pada harga mencecah RM150 sekilogram di Thailand. Kita tahu ianya dijual pada harga sekitar RM30 disini, sebelum diseludup ke negara jiran. Kalau ia dapat di eksport, maka ia dapat dimanfaatkan oleh rakyat di Kedah.”

“Kalau tak, semua orang (yang tanam) di Pendang ini pakat jadi jutawan dah, semua pakai kain batik tunggu atas dangau, biar depa kutip, dia (bawa) pi timbang, kita timbang duit,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran ‘PN Best’ dan manifesto PN Negeri Kedah di sini, malam tadi.

 

Majlis itu dilancarkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah, berkata terdapat kebaikan sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti eksport daun ketum segar daripada terus berlaku penyeludupan tumbuhan itu selain disalah guna oleh masyarakat.

“Apabila kita eskport, ia akan diproses menjadi ubat dan minuman yang berkhasiat. Ia memanfaatkan kita dari segi kesihatan. Sekiranya tidak, ianya sekadar direbus dan di minum secara salah.

“Ada juga kes orang yang seludup bawa daun ketum lari (dari penguatkuasa) sehingga jatuh gaung dan mati, kalau dia tak perlu lari mungkin dia ada sampai sekarang, kita ada banyak bahan mentah tapi depa tak bagi eksport..masalah….masalah,” katanya.

Ujarnya jika kerajaan memberi kebenaran, lesen mengeksport daun ketum dicadangkan diberi kepada anak syarikat kerajaan negeri atau syarikat tertentu agar ia dapat dikawal.

“Bukan saja orang Pendang boleh jadi jutawan, malah orang Sik dan Padang Terap juga boleh kaya, tapi sesiapa yang tak tanam lagi, jangan tanam, tunggu dulu,” katanya.

Pada Mac lalu, media melaporkan Kerajaan Persekutuan dicadang memberi kebenaran kepada Kedah bagi mengeksport ketum secara sah ke Thailand.

Sanusi berkata proses mengekport bahan itu bagaimanapun memerlukan peraturan tertentu supaya ia dapat dilakukan secara teratur dan mengikut peraturan.

Loading...
Terkini