ALOR SETAR: Kejadian mencuri unsur nadir bumi (REE) di negeri ini masih berlaku berikutan tangkapan terkini polis membabitkan kegiatan penerokaan di Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, pada 14 September lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam kejadian itu, polis menahan sembilan penjenayah sehingga mereka dapat didakwa di Mahkamah Sesyen Baling semalam.
Katanya, pihak polis juga masih dalam proses siasatan kejadian kecurian REE yang berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik, pada 21 Jun lalu, sebelum pendakwaan ke atas penjenayah dapat dilakukan.
“Syabas polis Kedah! Tangkapan bulan Jun masih dalam proses dilengkapkan siasatan. Belum terhenti. Tangkapan terbaru mengesahkan kecurian masih berlaku.
“Pencuri tertangkap dan didakwa dan disabit kesalahan oleh mahkamah. Ada yang masih tunggu (untuk didakwa). Wujud elemen jenayah pemerdagangan orang dan jenayah terancang. Polis terus menyiasat (elemen jenayah),” katanya dalam kenyataan di laman sosialnya.
Pada masa sama, Saifuddin turut mempersoalkan kemungkinan wujud pembabitan pihak berkuasa di peringkat negeri, walaupun perkara itu dinafikan kerajaan negeri Kedah sebelum ini.
“Masih ada senarai yang dicari polis, tapi menghilangkan diri. Wujud pembabitan kerajaan negeri dan agensi di bawahnya? Sabar.
“Yang memilih untuk ‘denial syndrome’ saya tak upaya nak buat apa. Beza pendapat saya raikan. Maki hamun dan gelar keburukan, saya keluarkan,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) mengesahkan sembilan individu didakwa di Mahkamah Sesyen Baling, atas tuduhan menceroboh Hutan Simpan Rimba Teloi pada 14 September lalu, disyaki menjalankan kegiatan penerokaan REE.
Beliau berkata, kumpulan termasuk lima warga asing itu dikesan melakukan kegiatan penerokaan di Kompartmen 35 hutan simpan itu, sejak empat bulan lalu, namun aktiviti mereka dipercayai masih pada peringkat awal.
Sembilan individu terbabit termasuk seorang warga China dan empat warga Indonesia berusia antara 31 hingga 51 tahun, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Baling bersama empat warga tempatan.
Mereka didakwa memasuki kawasan hutan tertutup iaitu Kompartmen 35 Hutan Simpan Rimba Teloi tanpa memiliki permit mengikut Sub Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
|ARTIKEL BERKAITAN
- Lakukan siasatan terperinci kecurian REE di Sik
- Kecurian REE berlaku dengan pengetahuan MBI Kedah, dedah Saifuddin
- Kerajaan Perpaduan janji hentikan kecurian REE jika berjaya bentuk kerajaan negeri -Saifuddin Nasution
- Kecurian REE jadi skandal babit pentadbiran Sanusi, MBI Kedah – Saifuddin
- ‘Satu undi kepada Sanusi, satu undi menyokong REE terus dicuri’ -Saifuddin