comscore
Tumpuan :
Nasional

Kecurian REE jadi skandal babit pentadbiran Sanusi, MBI Kedah – Saifuddin

Foto: NSTP

PADANG TERAP: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya percaya Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor menggunakan kuasanya bagi melindungi kegiatan mengeluarkan hasil REE di Kompartmen 12 Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik.

Justeru ia boleh dianggap sebagai skandal membabitkan pentadbiran Sanusi serta agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Jelasnya, ini dibuktikan melalui surat dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) pada 15 Mei lalu membenarkan sebuah syarikat dan wakilnya, Ho Chung Meng, terus masuk ke Kompartmen 12 bagi melakukan kerja di kawasan ladang hutan.

“Saya tengok begini, semua petunjuk kalau kita nak istilahkan ini sebagai satu skandal kecurian, semua petunjuk sudah menuju ke arah itu. Tapi kerana watak Menteri Besar, dia sebelum ini selamat, apa pun dia selamat.

“Kalau masih ingat masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia didedahkan oleh seorang wanita memandu uji Ford Raptor. Cuba tengok reaksi awal, pejabat (Pejabat Menteri Besar) serang dan kata ini fitnah dan pembohongan sehingga wanita itu tutup akaun sosial media.

“Akhirnya Sanusi dikompaun RM1,500 kerana rakaman kamera litar tertutup memang menunjukkan dia pegang stereng. Tapi dia selamat sebab dia dijulang pengkagumnya, dia boleh langgar, boleh buat apa saja. Itu yang saya lalui sekarang, cuma saya tak tutup akaun (media sosial), saya berdepan, saya yakin hujah lawan hujah,” katanya pada sidang media di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Naka di sini, hari ini.

Saifuddin berkata, Muhammad Sanusi sebenarnya mempunyai pengetahuan mengenai kejadian kecurian REE, namun bertindak melindungi semua kegiatan berkenaan termasuk masih membenarkan Ho Chung Meng yang ditahan pihak berkuasa pada 31 Januari lalu, untuk terus masuk ke Bukit Enggang pada Mei lalu.

Katanya, pada masa sama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah juga tidak melakukan siasatan membabitkan kejadian kecurian 365 kampit REE pada 31 Januari lalu, sedangkan terdapat undang-undang mengikut Bahagian 11 Seksyen 167, 168, 169 dan 170 Enakmen Mineral Kedah 2004 yang membolehkan kertas siasatan dibuka.

“Adakah ia skandal? Pertama adakah ada atau tidak dalam pengetahuan Menteri Besar? Jawapannya ada. Kedua ada tak dalam pengetahuan agensi kerajaan negeri? Jawapannya ya ada. Ketiga apakah ada elemen tentang penglibatan agensi kerajaan negeri? Jawapannya ya jelas (pembabitan) Perbadanan Menteri Besar (MBI).

“Lokasi (kecurian) ini mengikut undang-undang milik mereka (MBI) dan mereka yang membuat perjanjian bersama pihak lain. Apa yang berlaku? Kecurian REE. Kalau tak ada elemen kecurian kenapa Ho Chung Meng bayar denda RM630,000, kenapa MBI dikenakan kompaun oleh Pengarah PTG.

“Yang menjadi skanda adalah apakah ada unsur melindungi? Bila diberi semua elemen (skandal), yang mampu mereka buat adalah melindungi dan senyap. Pergi tak di kawasan itu? Pergi. Bila? 19 Februari. Ambil tindakan atau tidak? Tidak. Maknanya ada cubaan melindungi. Paling jelas bila PTG langsung tidak menyiasat di bawah Enakmen Mineral Kedah 2004,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, siri pendedahan yang dibuatnya itu boleh dikatakan sebagai persis kejadian skandal sama seperti yang berlaku kepada bekas Presiden Amerika Syarikat era 70-an, Richard Nixon yang terpalit skandal politik dikenali sebagai ‘Nixon Watergate’.

Katanya, apa yang dilakukannya adalah bagi menyelamatkan rakyat Kedah daripada terus menanggung kerugian, sedangkan mereka sepatutnya mendapat manfaat daripada sumber asli bumi berkenaan sekiranya ia tidak hanya dikaut pihak tertentu.

“Jadi elemen melindungi itu yang menjadikan ini skandal. Siapa yang menanggung kerugian? Yang tanggung kerugian adalah rakyat Kedah. Siapa merupakan penerima manfaat terbesar? Penerima manfaat terbesar adalah MBI yang dipengerusikan Sanusi,” katanya.

Loading...
Terkini