Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
CYBERJAYA: Universiti Multimedia (MMU) sepatutnya dicadangkan dibina di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebagai universiti pertama di negeri berkenaan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, cadangan itu tidak diteruskan disebabkan isu tatakelola ketika peringkat awal perbincangan mengenai projek tersebut.
Menurut Datuk Seri Anwar, ketika menjawat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebelum ini, beliau bersetuju dengan cadangan berkenaan kerana pengasas universiti tersebut, Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba juga adalah anak jati Negeri Sembilan.
“Ini kali pertama saya nak sampaikan rahsia. Bila saya usulkan (penubuhan MMU), ‘Okay Datuk Seri (Anwar), saya (Tan Sri Mohd Rashdan) nak Kuala Pilah, saya akan cari tanah untuk bangunkan MMU di Negeri Sembilan’.
“Banyak orang yang mempertikai, mual dengar masalah tatakelola tetapi isu tatakelola dan sikap pimpinan poilitik yang menyebabkan tidak dapat dilaksanakan ketika itu di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di MMU, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Datuk Seri Anwar, Tan Sri Rashdan mempunyai prinsip yang tegas untuk tidak bertolak ansur dengan apa-apa bentuk penyelewengan atau memperalatkan projek penubuhan universiti terbabit utk memperkaya beberapa individu.
“Maka saya masih ingat lagi, panggil berunding walaupun dipersetujui tapi masih ada usaha-usaha yang memerlukan sogokan, Tan Sri Mohd Rashdan beritahu pada saya, dia tidak mahu teruskan, lebih baik dipilih tempat yang dianggap alternatif, itu yang berlaku perubahan MMU.
“Contoh pengajarannya apa? Pertama dalam projek dalam pelan PIKAS mesti diterapkan melalui prinsip tatakelola yang tetap, tegas dan tidak bertolak ansur,” katanya.
Penubuhan MMU adalah antara kejayaan projek Kerjasama Awam-Swasta (Public-Private Partnership – PPP) iaitu dari penswastaan Telekom Malaysia pada tahun 1990.
MMU ditubuhkan pada tahun 1997 sebagai Universiti Telekom sebelum ditukar nama kepada MMU pada tahun 1999 dan kini mempunyai dua kampus utama iaitu di Cyberjaya dan Melaka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.