Tumpuan :
Nasional

Kecuaian pemandu lori dipercayai punca nahas 2 maut semalam

Keadaan kenderaan yang terbabit dalam di Jalan Kuala Krai- Gua Musang dekat Kampung Sungai Sam, semalam. -FOTO Ihsan JBPM.

KUALA KRAI: Kemalangan yang mengorbankan dua nyawa di Kilometer 107, Jalan Kota Bharu- Gua Musang berhampiran Kampung Sungai Sam, petang semalam dipercayai akibat kecuaian pemandu lori sehingga memasuki laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah lori dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Lumpur bertembung dengan kereta Proton Axia dari arah Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu lori berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Proton Axia.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu dan penumpang belakang Proton Axia yang masing-masing berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Sementara itu, dua lagi penumpang Perodua Axia dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk mendapat rawatan. Manakala pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan ujian air kencing yang dilakukan ke atas pemandu lori berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak polis.

“Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan untuk tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Amirul Izham Azian di talian 09-9666222,” katanya.

Media semalam melaporkan, dua maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Krai- Gua Musang dekat Kampung Sungai Sam, kira-kira jam 4.50 petang semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini