KOTA BHARU: Kecuaian manusia antara faktor utama peningkatan dua kali ganda pembakaran terbuka di Kelantan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Datuk Ir Ahmad Izram Osman berkata, sehingga Jun ini, Kelantan merekodkan pembakaran terbuka sebanyak 1,730 kes.
Katanya, ini menunjukkan peningkatan sebanyak 73 peratus berbanding sebanyak 814 kes pembakaran terbuka diterima sepanjang tahun lalu.
“Pada tahun 2022, kes pembakaran terbuka adalah sebanyak 215 dan tahun 2021, sebanyak 470 kes.
“Taksiran kerugian akibat pembakaran terbuka sehingga Jun ini membabitkan jumlah RM16,722, 176.50,” katanya ketika ditemui dalam Program Pemantapan Kepimpinan Ketua Zon Dan Ketua Balai dan Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela Tahun 2024 di Politeknik Kota Bharu, di sini hari ini.
Ahmad Izram berkata, daripada kes kebakaran terbuka, paling tinggi membabitkan pembakaran di kawasan belukar dan lalang, kawasan pembuangan sampah dan kawasan hutan.
“Peningkatan kes pembakaran terbuka yang tinggi di negeri ini membabitkan pelbagai faktor tapi kecuaian manusia agak tinggi.
“Selain itu, faktor kemarau yang berpanjangan juga mempengaruhi keadaan kering di kawasan hutan dan menyebabkan mudah berlaku kebakaran,” katanya.
Katanya, pihak bomba juga turut mengesan beberapa hotspot atau titik panas di mana kebakaran terbuka sering berulang dengan daerah Bachok mempunyai lapan hotspot, Pasir Puteh (13 hotspot), Pasir Mas dan Gua Musang (enam hotspot) dan Tumpat satu hotspot.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.