Tumpuan :
Nasional

Keciciran murid: Majikan menggaji pelajar akan dipantau berkala

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil.1 Tahun 2024 di Putrajaya. FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan membuat pemantauan berkala terhadap majikan yang mengambil pekerja masih bersekolah bagi memastikan mereka mematuhi syarat dan waktu bekerja ditetapkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, itu antara cadangan penambahbaikan dalam strategi penyelesaian isu keciciran murid sekolah menengah di negara ini.

“Faktor utama yang menyebabkan keciciran murid iaitu tidak berminat ke sekolah, mereka bekerja kerana terpaksa menampung keluarga, masalah keluarga dan kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) Bilangan 1 Tahun 2024, di sini hari ini.

Tambahnya, cadangan lain termasuk membantu keluarga yang kesempitan kewangan sehingga menyebabkan murid perlu bekerja serta memberi bantuan kewangan mencukupi kepada murid mengikut keperluan dan lokaliti tempat tinggal.

Selain itu, maklumat tentang kepentingan pendidikan sehingga mendapat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan disebar luas kepada kanak-kanak dan murid yang tidak bersekolah atau keciciran melalui media cetak, media elektronik serta media sosial.

Untuk rekod, kadar keciciran murid peringkat menengah pada tahun lalu adalah 0.83 peratus atau seramai 14,506 orang.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat juga mempersetujui pelaksanaan program pencegahan, kawalan dan rawatan berkaitan HIV dan AIDS dapat dilaksanakan dengan lancar berdasarkan situasi penyakit tersebut di negara ini.

Beberapa cadangan penambahbaikan dikenal pasti iaitu memperkasakan masyarakat terutama kalangan belia atau anak muda dengan pengetahuan tepat mengenai HIV dan AIDS, langkah pencegahan serta isu berkaitan.

Ini kerana 74 peratus kes HIV yang dilaporkan membabitkan golongan muda berusia 20 hingga 39 tahun.

“Cadangan lain antaranya mewujudkan rumah perlindungan sama ada kendalian agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan ‘aftercare’ bagi Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA) terutamanya ODHA yang tersisih oleh keluarga dan tiada sokongan.

“Cadangan termasuk melaksanakan pemantauan berterusan dan membuat sekatan ke atas laman web yang menyebarkan bahan lucah atau aplikasi rangkaian sosial yang menjurus kepada aktiviti berisiko tinggi HIV,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini