comscore
Tumpuan :
Nasional

Kecanggihan AI tidak mampu menggantikan peranan manusia

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak mampu menggantikan peranan wartawan dalam menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat kepada masyarakat.

 

Menurut Wartawan dan Pengacara TV Antarabangsa, Mehdi Hasan, masih terdapat banyak kekurangan pada teknologi itu yang memerlukan sentuhan manusia bagi menghasilkan laporan yang berkreadibiliti.

Dalam temubual eksklusif bersama Buletin TV3, Mehdi berkata teknologi itu jika digunakan secara bijak, ia boleh dimanfaatkan bagi memudahkan tugas wartawan.

Misalnya, dalam kewartawanan penyiasatan, ia boleh digunakan untuk menyemak kesilapan pada ratusan dokumen dan data berkenaan penyata kewangan sesebuah institusi yang disiasat.

“Terdapat peranan besar yang boleh dimainkan oleh AI dalam kewartawanan penyiasatan. Namun, menggantikan wartawan, itu tidak seharusnya menjadi matlamat.

“Ada perkara tertentu yang hanya boleh dilakukan oleh wartawan, seperti intuisi manusia, penilaian manusia, penilaian moral, dan kehadiran fizikal di lokasi tertentu dengan cara yang tidak boleh dilakukan oleh AI.

“Oleh itu, saya rasa penting untuk kita mengalihkan perbualan daripada penggantian, yang sentiasa menjadi ketakutan.” katanya kepada Buletin TV3.

Tambahnya, masyarakat perlu mempunyai mentaliti untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi seperti AI bagi mempermudahkan tugasan harian.

Bagaimanapun, kebergantungan sepenuhnya kepada teknologi AI mampu mengundang kepada pelbagai risiko sekiranya tiada semak dan imbang dilakukan sebaiknya.

Dakwanya, ini terbukti di Amerika Syarikat apabila sebuah portal digital menggunakan teknologi tersebut untuk menghasilkan penulisan laporan artikel berita, tanpa memaklumkan kepada umum ia dihasilkan oleh AI.

“Saya rasa lebih daripada 40 daripada 70 artikel itu mempunyai ketidaktepatan yang besar, dan manusia, wartawan manusia terpaksa hadir untuk membetulkan kesilapan tersebut serta menambah pembetulan.

“Bagi saya, itu memalukan. Jadi, apabila ada yang berkata kecanggihan AI ini akan menggantikan manusia, sebenarnya manusia perlu datang dan membetulkan, ya. Memang benar, kerana AI juga boleh melakukan kesilapan, sama seperti manusia.” ujarnya

Justeru, beliau mencadangkan agar Malaysia mewujudkan undang-undang khusus berkaitan perakuan hak atau ‘bill of rights’ bagi melindungi pelanggaran oleh mana-mana pihak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini