SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan mengesan kebocoran bahan kimia jenis asid hidroklorik berlaku di sebuah kilang di Jalan Tanjung Bunga, Taman Tasik Jaya, Senawang, di sini, tengah malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban, Timbalan Penguasa Bomba Mohamad Idris, berkata kejadian berkenaan dikesan anggota BBP Senawang dengan dibantu Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) daripada BBP Seremban 2.
Beliau berkata, maklumat berhubung perkara itu diterima pada jam 12.40 tengah malam sebelum anggota digegas ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi, pegawai operasi mendapati sebuah tong berisi 1,000 liter bahan kimia asid hidroklorik telah mengalami kebocoran sebanyak 250 liter.
“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya, di sini, hari ini.
Mohamad berkata, pihaknya bersama pasukan HAZMAT telah menjalankan kerja-kerja pembersihan di lokasi .
Setakat ini, tiada kejadian tidak diingini dilaporkan.