Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Urusan harian di bangunan Komtar, di sini, yang menempatkan pejabat kerajaan pusat dan negeri terjejas selepas berlaku kebocoran di tangki air menyebabkan air melimpah ke tingkat bawah, siang tadi.
Kebocoran itu juga telah menyebabkan hampir kesemua 12 lif terpaksa dihentikan operasi buat sementara.
Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Timur Laut menasihatkan mereka yang mempunyai urusan di Komtar ditunda ke hari lain.
“Untuk makluman, terdapat masalah teknikal pada pump fire yang berlaku menyebabkan air daripada tangki telah melimpah di kawasan Menara Komtar.
“Sehubungan itu, penggunaan lif (Mid Zone & Low Zone) terpaksa dihentikan seketika sehingga kerja-kerja pembersihan tamat dilakukan.
“Mereka yang mempunyai urusan dengan jabatan di Komtar pada hari ini dinasihatkan untuk meminda temujanji ke hari lain memandangkan penggunaan lif terpaksa dihentikan buat sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan, kebocoran pada tangki air berlaku kira-kira jam 3 pagi, dan air mula melimpah dari tingkat 27 ke tingkat bawah.
Limpahan menyebabkan tingkat bawah digenangi air dan lif turut dimasuki air.
Justeru, kesemua lif yang beroperasi dari tingkat bawah ke tingkat 26 telah ditutup operasi atas faktor keselamatan.
Hanya lif dari tingkat 26 sehingga tingkat 68 beroperasi setakat ini.
Penjawat awam dan orang awam dilihat menaiki tangga ke pejabat kerajaan, sementara notis dalaman dikeluarkan bagi kakitangan yang belum tiba agar bekerja dari rumah.
Bagaimanapun, tinjauan kira-kira jam 12 tengah hari mendapati satu lif mula beroperasi selepas kerja-kerja pembersihan siap sebahagian.
Pengendali bangunan, PDC Setia Urus Sdn Bhd dijangka akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.