comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Kebocoran’ maklumat, beri ruang kepada siasatan polis

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan ahli keluarga Allahyarham Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said dan Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram pada Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous oleh Menteri Dalam Negeri di PULAPOL, Kuala Lumpur.

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Masyarakat digesa memberi ruang kepada siasatan polis tanpa ada unsur luar yang dapat menjejaskan penyiasatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, apapun yang menjadi panduan dalam kes khususnya kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin, perlu datang dari sumber pihak berkuasa, bukannya maklumat yang didedahkan di media sosial.

“Beri ruang kepada siasatan polis, yang dikatakan bocor dan sebagainya akan mengubah sentimen atau tanggapan tersendiri di pihak masyarakat awam, dan itu akan menganggu siasatan polis.

“Di satu sisi, masyarakat mahu pihak polis menyegerakan dan membawa keadilan, tapi pada masa yang sama ada juga media massa memetik kebocoran sana sini, kemudian mendedahkan kepada komen.

“Pasukan polis tak boleh berada dalam suasana seperti itu, jadi buat masa sekarang mereka terus fokus menjalankannya (siasatan) secara professional,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Disoal sama ada kebocoran maklumat itu berpunca daripada perbuatan ‘orang dalam’ dan kemungkinan untuk menukar pasukan penyiasat dalam kes tersebut, Datuk Seri Saifuddin memaklumkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai cara tersendiri dalam mengendali insiden terbabit.

“Bila ada keadaan macam itu, pasukan polis ini ada prosedur operasi standard (SOP) nya, kalau perlu disiasat kalau betullah dakwaan insiden kebocoran, dia ada kaedah dia untuk kesan dan sebagainya, biar polis lakukan tugas mereka,” katanya.

Anggota Polis dari Balai Polis Ulu Tiram, Sarjan Mohd Hasif Roslan (tengah) bersama Koperal Mohamad Aznel Mat Salleh (kanan) dan Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa menunjukkan sijil kenaikan pangkat pada Majlis Pemakaian Pangkat Secara Medan dan Posthumous oleh Menteri Dalam Negeri di PULAPOL, Kuala Lumpur.

Majlis hari ini menyaksikan Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang diwakili ibu bapanya, Azhar Khaiden dan Nurhaliza Awaluddin; dan Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said yang diwakili ibu bapanya, Ahmad Said Md Piah dan Aini Mohd Sharif menerima anugerah kenaikan pangkat secara Posthumuos, selain faedah terbitan dan pampasan kematian atas pemergian anak mereka.

Pada majlis itu, Koperal Mohd Hasif Roslan, Lans Koperal Mohammad Aznel Mat Salleh serta Konstabel Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa turut menerima kenaikan pangkat secara medan, masing-masing kepada sarjan dan koperal.

Konstabel Ahmad Azza, 22, dan Konstabel Muhammad Syafiq, 24, maut dalam tragedi berdarah di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu selepas diserang seorang lelaki bertopeng.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini