comscore
Tumpuan :
Nasional

Kebocoran arus punca renjatan elektrik di gerai burger

PUTRAJAYA: Kebocoran arus yang disebabkan oleh kabel bekalan fasa hidup yang luka dan terkena pada kerangka kabin gerai jenis besi dan zink, dikenal pasti sebagai punca insiden renjatan elektrik di gerai burger di Taman Bercham Jaya, Ipoh, Perak hingga meragut dua nyawa, pada 15 Oktober lalu.

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Tenaga (ST) berkata penemuan itu adalah hasil siasatan yang dijalankan selaras dengan Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

“Ini telah menyebabkan kedua-dua mangsa terkena renjatan elektrik apabila tersentuh dengan bahagian badan kabin gerai yang bertenaga itu,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian pada 15 Oktober lalu, dua lelaki berusia 14 dan 30 tahun yang sedang bekerja di gerai burger telah ditemukan tidak sedarkan diri di tepi gerai akibat terkena renjatan elektrik, dan disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

ST berkata tindakan undang-undang akan diambil sekiranya didapati berlaku kecuaian atau kesalahan oleh mana-mana pihak yang berkenaan.

Suruhanjaya turut menggariskan beberapa panduan keselamatan penggunaan elektrik untuk rujukan pemilik, pengusaha perniagaan dan orang ramai antaranya memastikan tiada sambungan elektrik secara haram, dan melantik kontraktor elektrik dan orang kompeten yang berdaftar dengan ST untuk menjalankan kerja pendawaian elektrik.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini