comscore
Tumpuan :
Nasional

Keberkesanan pelaksanaan dasar, program kerajaan jadi ukuran, keutamaan – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media Sesi Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di Cyberjaya hari ini. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pelbagai bentuk program dan dasar diperkenal sebelum ini akan menjadi ukuran serta tumpuan kerajaan ke arah pelaksanaan program dan dasar secara lebih berkesan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, anggota pentadbiran khususnya menteri serta penjawat awam lain tidak seharusnya berasa selesa dengan apa yang sudah capai, sebaliknya terus berusaha lebih keras untuk meningkatkan khidmat kepada rakyat.

Beliau berkata, aspek itu antara diberikan penekanan kerajaan sepanjang tempoh dua hari berlangsungnya program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 di Cyberjaya, yang berakhir hari ini.

“Ini yang menjadi tema dalam perbincangan kita, matlamat meningkatkan upaya kita untuk menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat, selain daripada memacu pertumbuhan ekonomi negara dan memaknai falsafah negara madani dari sudut mengangkat keupayaan martabat negara menjadi lebih hebat.

“Perbincangan menyeluruh juga tentunya menyentuh soal perpaduan rakyat dan kestabilan politik yang menjadi prasyarat bagi kita melaksana program-program dirancang. Kita juga bicara soal ekonomi, untuk menambah pelaburan domestik dan luar negara.

“Selain itu, memfokuskan isu khusus meningkatkan mutu pendidikan negara termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), digital dan kecerdasan buatan (AI) dan beberaspa isu yang kita cerakin dalam beberapa pengumuman dasar trasisi peralihan tenaga, transformasi digital, pelan perindusterian dan reformasi perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhir program Pemukiman Anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan 2024 yang berlangsung di Cyberjaya.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pemukiman dua hari itu menjadi platform kepada kerajaan mendapatkan input dan pendedahan daripada pakar, penyelidik serta ilmuan bukan saja Malaysia, bahkan dari luar negara.

“Ini pemukiman kali kedua tapi format berbeza. Pertama kita tidak minta pandangan kerajaan disampaikan di sini, tetapi dapatkan input dari sektor swasta, ilmuan dan penyelidik, majoriti orang Malaysia tapi satu dua pakar antarabangsa.

“Apa yang tertera adalah ramai penyelidik dan pakar di luar yang memberikan sumbangan sangat bermutu dalam penghantarnya. Saya dan rakan-rakan berikan satu senario bahawa pemukiman ini mengambil sikap sangat terbuka dan sedia mendengar pandangan, teguran, kritikan dan cadangan baharu.

“Bukan untuk mempertahankan program dan dasar yang ada, tetapi sedia membuat penilaian. Kita menerima kenyataan ada ruang untuk memperbaiki,” katanya.

Loading...
Terkini