Tumpuan :
Nasional

Kebenaran Solat Jumaat Di 228 Surau Di Melaka Ditarik Balik

JASIN: Kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat di 228 surau di negeri ini ditarik balik, berkuat kuasa 19 Ogos ini.

Hanya dua surau yang masih dibenarkan mendirikan solat Jumaat iaitu di Kampung Serkam Darat dan Kampung Gelam berikutan masjid kariah itu sedang diubah suai serta dalam proses pembinaan semula.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil, berkata keputusan itu adalah susulan cadangan Jawatankuasa Fatwa Negeri sebelum dipersetujui kerajaan negeri menerusi mesyuarat EXCO pada 3 Ogos lalu.

Beliau berkata, susulan itu, semua jemaah kariah surau berkenaan hendaklah menunaikan solat Jumaat di masjid kariah masing-masing bermula 19 Ogos ini.

“Kebenaran kepada surau berkenaan sejak dua tahun lalu itu berikutan penularan wabak COVID-19, yang menyekat aktiviti solat secara merapatkan saf.

“Namun, selepas negara melaksanakan peralihan ke fasa endemik, kita membuat keputusan untuk membatalkan kebenaran itu.

“Ini bermakna, esok adalah Jumaat terakhir bagi semua surau terbabit dan bermula minggu depan, semua ahli kariah hendaklah kembali mendirikan solat Jumaat di masjid kariah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi panel Forum Kesedaran Derma Organ sempena Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Dewan Alamanda, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, keputusan menarik semula kebenaran itu berdasarkan justifikasi bahawa ruang masjid kariah masih boleh menampung kapasiti jemaah dalam satu-satu masa.

Katanya, pada masa sama, ia bertujuan untuk mengimarah dan meninggikan syiar Islam di masjid, sekali gus mengukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat melalui pembabitan bersama dalam aktiviti masjid.

“Keputusan ini adalah selari dengan kaedah ‘fiqh’ bahawa apabila darurat menimpa seseorang atau jemaah, jika beramal dengan hukum asal yang disyarakkan dalam keadaan biasa akan menyulitkan dan membebankan mereka untuk melaksanakannya, maka kerana itu diberi keringanan dan kemudahan ke atas mereka selagi mana darurat itu masih wujud.

“Akan tetapi apabila hilang darurat berkenaan, nescaya kembali hukum kepada asal ia disyariatkan,” katanya.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri dan kerajaan negeri berterima kasih kepada semua surau yang sudah mengambil tanggungjawab mendirikan Jumaat walaupun secara sementara bagi membolehkan ramai umat Islam di negeri ini mendirikan ibadah itu dalam tempoh penularan COVID-19.

“Semoga keputusan ini dapat meningkatkan martabat dan syiar Islam di Melaka dan mengukuhkan perpaduan dan kesatuan ummah di negeri ini,” katanya.

Loading...
Terkini