comscore
Tumpuan :
Nasional

Kebebasan bersuara tetap ada batasannya

Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

SUNGAI PETANI:  Kebebasan bersuara adalah hak bagi setiap rakyat untuk menggunakannya melalui pelbagai platform, namun tetap ada batasannya, menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Tegasnya, menetapkan batasan kepada kebebasan bersuara adalah satu keperluan untuk mengelakkan peningkatan kebencian dalam masyarakat.

”Kebebasan adalah penting, tetapi ia perlu dikenal pasti batasannya. Apabila seseorang melampaui batasan dan menyebabkan kegusaran kepada orang lain, maka sudah tiba masanya untuk tutup (perkara tersebut).

”Di seluruh dunia, kebebasan ada batasnya. Malah di Singapura, terdapat ISA, dan setiap negara mempunyai undang-undang menentang hasutan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan BN Bahagian Merbok di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa akaun Tik Toknya  disekat sebagai satu tindakan untuk mengganggu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Kita mempunyai dua perkara penting yang perlu dipertimbangkan. Pertama, perpaduan dan kedua kita tidak boleh menaruh kebencian atau mengeluarkan perkataan yang menghasut kebencian. Kita harus memberi keutamaan kepada perpaduan.

”Jika kita tidak berhati-hati, perpaduan dapat mudah hancur dan ia boleh membawa kepada permusuhan antara bangsa Melayu dan Cina, Cina dan India, India dan Melayu dan sebagainya,” katanya.

Tegas beliau, rakyat  perlu menerima hakikat Malaysia negara berbilang kaum dan perlu saling menghormati antara satu sama lain,  seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita perlu mengakui bahawa majoriti penduduk Malaysia adalah Muslim dan seperti yang termaktub dalam perlembagaan, semua pihak menerima bahawa Islam adalah agama rasmi.

”Kita juga menerima bahawa negara ini adalah sebuah negara yang berbilang kaum dengan pelbagai agama, termasuk Islam, Buddha, Kristian, dan semua agama lainnya,” katanya.

Loading...
Terkini