comscore
Tumpuan :
Nasional

Kebebasan bersuara bukan alasan pertahan kezaliman, rasuah dan penyelewengan – PM

FOTO: NSTP

Oleh: Hamdi Fahmi Muhamad Zaki & Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Kebebasan bersuara bukan alasan untuk mana-mana individu mempertahankan tindakan zalim, salah laku rasuah dan penyelewengan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua pihak termasuk media tidak terkecuali dalam menjaga hak kebebasan bersuara untuk mengekalkan prinsip rukun negara.

Katanya kebebasan berkenaan seharusnya tidak menjadi instrumen bagi mempertahankan salah laku yang menyimpang daripada tata kelola yang baik.

Beliau turut menjelaskan, kematangan politik dan demokrasi juga perlu membawa negara kepada keadaan lebih bebas ke arah yang positif.

Di samping itu, beliau turut bersetuju sekiranya sekatan dikenakan demi mengelak daripada berlakunya kekacauan, huru-hara atau porak-peranda.

“Ketika di Forum Megatrends Khazanah baru-baru ini, saya ada menyebut, sementara kita menghormati prinsip kebebasan, ia perlu dipertahankan.

“Namun, kita harus ingat ini ada kaitan dengan soal nilai dan akhlak Islam, iaitu total freedom for the wolves means death for the lambs. Kalau kebebasan penuh untuk serigala, maknanya hancur kambing dibelasah”

“Kebebasan perlu dilihat, adakah digunakan sepertimana orang kaya kalau dihadapkan atau disiasat umpamanya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, (adakah) mereka akan guna dana, sama ada membantu pihak tertentu dan membawa pelbagai bantahan.

“Namun, apabila polis ambil RM3,000 dia didakwa, tetapi tiada siapa mempertahankan (dia). Namun, kalau tauke kaya berbilion, bila kaut kekayaan begitu besar, ramai yang pertahankannya.

“Ini yang saya sebutkan ‘total freedom for the wolves’,” tegasnya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau mengulas sedemikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lee Chuan How mengenai tindakan kerajaan tanpa mengancam hak kebebasan bersuara dan media untuk menyampaikan fakta, terutama tindakan kerajaan dan negara.

Sementara itu, dalam konteks membanteras rasuah, Anwar menyifatkan ia bukan satu perkara yang mudah, meskipun ia menjadi asas kepada perjuangan kerajaan dalam membentuk tata kelola yang baik.

“Apakah mudah tekad untuk memerangi rasuah? tidak, memang ia dihargai rakan di Pakistan dan Bangladesh tetapi saya terima kenyataan yang ia tidak mudah.

“Ini kerana apa sahaja tindakan terhadap ‘jerung besar’ mesti akan menimbulkan reaksi kerana dana, kekuatan dan jaringan mereka melalui media, sistem parti politik atau kegiatan NGOakan tentu diperalatkan untuk menyerang tindakan kerajaan.

“Jadi, setiap kali ambil tindakan, semuanya dikatakan itu tindakan politik, termasuk kalau ada RM200 juta atau RM5 juta di rumah, semua dikatakan tindakan politik. Apakah tindakan kita menentang rasuah ini harus memadamkan semua yang simpan RM5 juta atau RM6 juta di rumah tanpa alasan?,” tambahnya.

Anwar berkata ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di Dewan Rakyat hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini