Oleh Farith Zahir
PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru rakyat agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan Badan Kehakiman (Judiciary) yang merupakan teras dan paksi kepada kedaulatan sistem demokrasi raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.
Titahnya, Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan martabat Institusi Kehakiman di satu tahap yang tinggi sebagai sebuah Badan Kehakiman yang bebas dan berwibawa.
“Badan Kehakiman merupakan benteng terakhir yang perlu dipertahankan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
“Rakyat perlu mengambil maklum bahawa Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja sebagaimana peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
“Malah Perdana Menteri sebelum memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan lantikan seseorang Hakim hendaklah terlebih dahulu berunding dengan Ketua Hakim Negara dan perlu mendapat pengesyoran daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman,” titahnya dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Negeri, hari ini.
“Proses lantikan seseorang hakim yang perlu melalui proses yang teliti ini menunjukkan Badan Kehakiman berbeza dengan institusi-institusi kerajaan yang lain dan menggambarkan betapa pentingnya peranan Badan Kehakiman di dalam sistem pemerintahan Negara.
“Kebebasan kehakiman membawa pengertian bahawa para hakim yang mengadili sesuatu kes dapat mentafsirkan undang-undang bersandarkan semata-mata kepada fakta dan keterangan tanpa rasa takut, pilih kasih dan bebas dari sebarang pengaruh yang tidak diingini.
“Seorang Hakim telah mengangkat sumpah untuk mengamalkan kesamarataan, memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan serta bebas dari segala bentuk tekanan dalaman dan luaran. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa semua rakyat adalah sama rata di sisi undang-undang. Ini bermakna bahawa rakyat, tidak mengira status, jawatan, bangsa dan keturunan adalah tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang-undang yang sama.
Dalam pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut menzahirkan sokongan padu terhadap titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 5 September 2022 berkaitan dengan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.