KUALA LUMPUR: Gempa besar bermagnitud 9.0 dengan patahan pada kerak lautan sepanjang 1,200 kilometer (km) yang melanda Asia Tenggara dua dekad lalu adalah fenomena alam yang sangat langka.
Selepas 20 tahun, mungkinkah bencana sebesar itu berulang di rantau ini?
Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, secara teorinya ia boleh berlaku, tetapi kebarangkalian dari segi praktikal dilihat amat tipis.
“Kalau pun melanda lagi, ia mungkin jauh lebih kecil berbanding tragedi 26 Disember 2004.
“Tsunami ketika itu disebabkan gempa bumi mega bermagnitud 9.0 dengan jarak pusat gempa ialah 255km dari Banda Aceh dan gempa bumi keempat terbesar sejak 1900,” katanya kepada BH.
Beliau menjelaskan, gempa bumi itu menyebabkan patahan pada kerak lautan sepanjang 1,200km dari utara Sumatera hingga Kepulauan Andaman.
Ibrahim berkata, patahan mengangkat kerak lautan dengan serta-merta dan menganjak air laut yang menghasilkan tsunami.
“Tsunami boleh bergerak hingga 500km sejam di laut dalam dan apabila tiba di pesisir pantai Malaysia, kelajuannya berkurangan sekitar 50 km/jam atau 10 peratus daripada kelajuan asal.
“Gempa sebesar itu adalah fenomena alam yang sangat langka dan secara teori, ia boleh berulang di kawasan sama setiap 400 hingga 500 tahun.
“Jika ulangan lebih kerap, patahan lebih kecil dan tsunami tidak berlaku,” katanya.
Ibrahim mencadangkan infrastruktur penghalang tsunami dibina di kawasan pernah terjejas khususnya di utara tanah air.
“Pendidikan awam juga perlu dilakukan secara berterusan. Buat papan tanda di kawasan pernah dilanda tsunami, mengingatkan pengunjung terhadap apa yang berlaku pada 26 Disember 2004,” katanya.
Berdasarkan kajian, Ibrahim berkata, jarak 100 meter memadai untuk menyelamatkan diri daripada tsunami.
“Satu-satunya tempat di Malaysia yang terdedah dengan risiko tsunami ialah di pantai timur Sabah kerana gempa bumi besar dari Filipina boleh menyebabkan tsunami di sepanjang pantai ini.
“Sebagai pencegahan, kita boleh tetapkan jarak larangan membina rumah berhampiran pantai di kawasan itu,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.