Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
SUNGAI BULOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor menjangkakan 14 hari lagi diperlukan untuk memadam kebakaran tapak sampah haram berkeluasan 5,000 kaki persegi di sini.
Ketua Zon Shah Alam JBPM Selangor, Ahmad Zaidi Safuan berkata, tempoh operasi yang lebih lama diperlukan kerana berlaku pergerakan tanah di lereng bukit sampah itu dan menyebabkan jengkaut tidak dapat digunakan seperti biasa.
Selain itu katanya, pihak Bomba terpaksa melaksanakan teres di lereng bukit tersebut untuk menyempurnakan operasi pemadaman tanpa melibatkan sebarang risiko kepada kepada anggota bertugas.
“Sisa-sisa sampah di sini telah bercampur, bukan sahaja bahan binaan tetapi ia merangkumi plastik-plastik dan kertas industri dibuang juga di sini.
“Apabila ia telah ditindih oleh tanah-tanah dan batuan, makanya jika kita tembak ‘direct attack’ (tembakan air secara terus) ianya tidak akan sampai kepada punca api.
“Itulah yang menyebabkan kita memerlukan jentera berat (jengkaut) untuk menggali, baru lah kita jumpa punca api di bahagian bawah,” katanya kepada Buletin TV3.
Tambahnya, asap yang keluar melalui rekahan akibat pergerakan tanah kira-kira 10 meter dari tebing menujukkan terdapat sumber api yang aktif di dalam timbunan sampah itu.
“Apa yang kita laksanakan sekarang, bagi proses pemadaman ini kita akan melaksanakan 3 teres.
“Teres yang pertama adalah bahagian atas sekali dimana kita terpaksa menolak atau menggali bahagian atas bagi menstabilkan tanah di bahagian atas.
“Yang kedua tembakan air secara terus akan dilaksanakan, apabila kita telah sampai kepada teres yang kedua ini, risiko untuk runtuhan itu telah berkurang,” tambahnya.
Hanya selepas proses berkenaan katanya, pihak Bomba dapat melakukan tembakan air secara terus kepada punca kebakaran.
Selain itu, beliau memaklumkan tempoh operasi pemadaman bukit sampah dengan ketinggian hampir 30 kaki itu juga bergantung kepada pelbagai faktor.
Selain daripada bentuk muka bumi, faktor cuaca dan arah angin juga mempengaruhi operasi pemadaman serta punca api.
Justeru, pihaknya akan meneruskan operasi 24 jam tanpa henti bagi memantau dan mengawal kemaraan api yang tidak kelihatan di lokasi berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Kebakaran tapak sampah haram: Operasi pemadaman capai 40% setakat 6 petang tadi
- Kebakaran tapak sampah haram: Penduduk dakwa alami sesak nafas, batuk
- Ramanan arah PBT, agensi ambil tindakan insiden kebakaran tapak pelupusan sampah
- Kebakaran tapak sampah haram: Pemilik dakwa tanah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab