Oleh: Fatin Hanani Sahimi
SUNGAI BULOH: Penduduk di sekitar kawasan Kampung Melayu dan Jalan Bukit Lagong di sini dikejutkan dengan kebakaran besar yang berlaku di tapak sampah haram yang dipercayai telah beroperasi lebih dari setahun.
Dakwa penduduk kebakaran yang berlaku tiga hari lalu itu bukan hanya mencemarkan udara, malah turut memberi kesan kesihatan kepada penduduk sekitar yang tinggal kurang 500 meter dari kawasan tersebut.
Menurut Ketua Kampung Kampung Melayu Mohamad @ Manan Awang, 60, lebih membimbangkan ia juga berhampiran dengan Hospital Sungai Buloh dan asrama.
“Difahamkan ia adalah tanah persendirian dan sebelum ini tindakan awal telah diambil oleh pihak AJK kami dengan membuat laporan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada awal tahun lalu mengenai isu pembuangan sampah ini.
“Sebagai ketua kampung, saya sangat kecewa walaupun telah ada laporan dan tindakan awal, namun tapak sampah ini masih wujud dan menyebabkan kebakaran.
“Tapak ini dipenuhi dengan plastik dan sisa bahan berbahaya lain yang mengakibatkan kebakaran yang teruk.
“Akibatnya, penduduk sekitar termasuk mereka yang tinggal berhampiran hospital, mula mengalami simptom batuk-batuk,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Komuniti Kampung Bahagia Bukit Lagong, Fauzi Hashim, 54, berkata penduduk yang tinggal berdekatan sering melihat beberapa lori sampah keluar masuk kawasan tersebut.
Walaupun terdapat usaha dari penduduk untuk menghalang, namun aktiviti pembuangan sampah haram tetap berterusan.
“Kami sudah lama menyedari lori-lori sering datang membuang sampah di kawasan ini, namun kami tidak tahu ke mana mereka pergi.
“Kami sangka ia hanya berlaku di hadapan sahaja, tetapi rupa-rupanya tapak ini sudah beroperasi lebih dari setahun.
“Penduduk sekitar ramai yang mengadu mengalami sesak nafas, semput dan sukar bernafas akibat asap tebal yang dikeluarkan,” katanya.
Penduduk turut menyeru pihak berkaitan untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak yang bertanggungjawab.
Dalam pada itu, pihak Hospital Sungai Buloh memaklumkan setakat ini tiada laporan diterima oleh pihaknya mengenai isu pencemaran udara melibatkan penghuni asrama dan pesakitnya.
Tapak sampah haram berkeluasan 5,000 kaki persegi di Jalan Bukit Lagong dilaporkan terbakar khamis lalu.
Sehingga kini operasi pemadaman oleh anggota Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh masih diteruskan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.