Tumpuan :
Nasional

Kebakaran tapak sampah haram: Pemilik dakwa tanah diceroboh pihak tidak bertanggungjawab

Pemilik tanah, Amilia Kee Siew Lee ketika ditemui Buletin TV3 di tapak pelupusan sampah haram di Sungai Buloh hari ini.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

SUNGAI BULOH: Tapak sampah haram yang terbakar di sini sejak Khamis lalu, didakwa telah diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pemilik tanah berkenaan, Amilia Kee Siew Lee, 47, mendakwa tanah miliknya itu tidak dapat diusahakan kerana dia terpaksa menjaga suaminya yang mengalami strok.

Amilia yang juga bekerja sendiri bagi menampung keluarga memaklumkan, dia pernah cuba bersemuka dengan pihak terbabit namun gagal menghalang tindakan itu.

“Saya pun tak ada selalu dekat sini (lokasi), itu orang masuk dia buang saya pun tak boleh buat apa.

“Saya punya suami pun strok, saya mahu jaga dekat rumah lagi mahu cari wang juga, itu lah tak ada datang tengok jadi macam ni.

“Tak tahulah, ada pernah nampak (penceroboh), tapi bila saya datang (mereka) lari,” katanya.

Dia kemudian melaporkan insiden berkenaan kepada pihak Polis selepas dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran di tanahnya itu.

Katanya, dia menyerahkan segala tindakan dan siasatan kepada pihak berkuasa.

Selain itu, Amilia berkata dia akan cuba untuk mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak berkaitan sebagai langkah susulan kepada insiden berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini