Oleh: Fatin Hanani Sahimi
SUNGAI BULOH: Hari ketiga operasi pemadaman kebakaran tapak sampah haram di Jalan Bukit Lagong, di sini telah mencapai 40 peratus setakat jam 6 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, Azmel Kamarudin berkata, kebakaran membabitkan kawasan seluas 5,000 kaki persegi.
“Pihak BBP Sungai Buloh menerima panggilan pada Khamis lalu jam 7.40 pagi dan berulang jam 9.45 malam kemudian berterusan hingga hari ini.
“Pada hari kedua, operasi dimulakan jam 8.20 pagi, menggunakan satu aliran Briching 3 Nozzel pili bomba.
“Operasi tersebut berlangsung sehingga 12 tengah malam dan berjaya memadamkan kebakaran sekitar 25 peratus,” ujarnya ketika dihubungi Buletin TV3.
Menurutnya operasi kemudian disambung jam 6.30 pagi, Sabtu hingga 8.30 pagi dan berjaya memadamkan 30 peratus kebakaran yang kemudian diserah tugas kepada Pasukan C dari BBP Sungai Buloh.
Seramai 13 anggota BBP terlibat dibantu agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (PDTG) serta dua unit ekskavator.
Tiada mangsa yang terlibat, manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.
“Sampah yang kita dapati adalah sisa buangan seperti sisa batu, sisa kayu, pelbagai plastik, dahan pokok dan sebagainya,” katanya.
Azmel berkata orang awam dan pemilik tanah juga diingatkan mengenai kepentingan kerjasama dalam usaha mengelakkan kejadian pembakaran terbuka terus berulang.
Sementara itu, berdasarkan tinjauan Buletin TV3 di lokasi kejadian, operasi pemadaman masih giat dijalankan bagi memastikan api tidak merebak dengan lebih meluas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.