Tumpuan :
Nasional

Kebakaran Stor Hospital Papar: Pesakit ditempatkan dalam khemah sementara

FOTO: Pejabat YB Armizan Ahli Parlimen Papar/ Ihsan Facebook

Oleh: Safwan Sawi

PAPAR: Beberapa khemah sementara didirikan bagi menempatkan pesakit dan kakitangan yang terkesan dalam kebakaran yang berlaku di Hospital Papar malam tadi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keperluan seperti makanan dan minuman untuk kakitangan serta pesakit juga disediakan.

FOTO: Pejabat YB Armizan Ahli Parlimen Papar/ Ihsan Facebook

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, beliau menerima maklumat berhubung insiden itu sekitar jam 7.10 malam tadi.

“Sejurus mendapat pemakluman, saya terus menugaskan kakitangan Parlimen Papar untuk bergegas turun padang membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

FOTO: Pejabat YB Armizan Ahli Parlimen Papar/ Ihsan Facebook

“Buat masa ini, khemah-khemah sementara telah didirikan untuk menempatkan pesakit-pesakit dan kakitangan hospital yang terkesan dan makanan dan minuman juga diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Setakat pukul 11 malam tadi juga ujarnya pihak Bomba telah berjaya memadamkan api.

FOTO: Pejabat YB Armizan Ahli Parlimen Papar/ Ihsan Facebook

“Punca kebakaran akan disiasat dan diteliti. Syukur tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku dan para pesakit terkesan juga sudah dipindahkan ke wad lain.

“Bermula esok juga, untuk sementara waktu ini, Pejabat Parlimen Papar akan membantu untuk membekalkan makanan dan minuman sehingga pihak Hospital dapat menyediakan makanan melalui pihak pembekal luar kepada pesakit memandangkan dapur penyediaan makanan Hospital turut terjejas dalam kebakaran ini,” katanya.

FOTO: Pejabat YB Armizan Ahli Parlimen Papar/ Ihsan Facebook

Malam tadi suasana panik menyelubungi Hospital Papar, di sini selepas stor farmasi hospital berkenaan, terbakar.

Kakitangan hospital turut kelihatan bertungkus-lumus memindahkan pesakit dan peralatan berikutan kebakaran itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini