Tumpuan :
Nasional

Kebakaran rumah di Tongkang Yard: Bapa yakin jasad rentung adalah anaknya

Mohd Zaini Hashim menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Muslim Mohd Zaini. -FOTO NSTP

ALOR SETAR: “Perbuatan mereka itu sangat kejam terhadap anak saya dan bapa angkatnya, namun saya serahkan segalanya kepada pihak berkuasa menyelesaikan kes ini kerana ia sudah jadi kes bunuh,” kata Mohd Zaini Hashim, 63.

Mohd Zaini adalah bapa kepada Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, yang ditemukan rentung bersama bapa angkatnya, Ibrahim Mydin, 61, di sebuah rumah di Tongkang Yard di sini, kelmarin.

Menurutnya, walaupun mayat kedua-duanya ditemukan dalam keadaan tidak sempurna, namun dia hanya mengecam pada ‘bangle’ (gelang besi) serta rantai leher yang ditemukan pada salah satu jasad.

 

Mayat seorang mangsa rentung yang dibawa keluar dari lokasi kebakaran. – Foto Fail: NSTP

“Sehari sebelum kebakaran berlaku, Muhammad Muslim atau lebih mesra dipanggil ‘Lim’ pulang ke rumah neneknya untuk membersihkan rumah berkenaan untuk persiapan majlis pertunangan sepupunya pada 31 Januari ini.

“Ketika itu, saya nampak anak saya memakai ‘bangle’ di tangan kiri, serta rantai yang sama serta cincin di jari tangan kiri. Sewaktu saya nampak ketika anggota bomba membawa keluar jasad berkenaan, ia masih ada pada jasad salah satu mangsa menyebabkan saya yakin 99.9 peratus itu adalah anak saya,” katanya.

Menurutnya lagi, dia berharap polis melakukan siasatan kes itu dengan baik dan berharap jasad anaknya dapat dituntut segera.

Katanya, kali terakhir bertemu dengan anaknya Isnin lalu, dia hanya sempat berbual dalam tempoh yang singkat dan tidak menyangka arwah akan pergi buat selama-lamanya.

“Saya sempat menegurnya, ‘Lim bersih rumah tok (nenek) ni’, Achu (ibu saudaranya) beri juga sekupang dua, kalau nak buat lagi, buat sajalah tetapi dia cakap nak balik’.

“Saya kata kenduri pertunangan sepupunya tu tak lama dah tetapi Muslim kata dia nak balik dan tak mai dah.

“Namun majlis itu akan diteruskan pada tarikh berkenaan tetapi saya akan mengadakan majlis tahlil untuk arwah Muslim terlebih dahulu,” katanya.

Mohd Zaini berkata, dia tidak mengenali semua suspek namun dimaklumkan mereka tinggal bersama di rumah Ibrahim.

Katanya, perbuatan mereka itu sangat kejam kerana selama ini Ibrahim banyak membantu mereka termasuk menyediakan makan minum tetapi mereka sanggup bertindak demikian.

“Saya ada empat lagi anak melalui perkahwinan pertama, dan isteri kedua iaitu ibu Muhammad Muslim adalah saudara baharu tetapi sudah meninggal dunia.

“Saya reda dengan apa yang berlaku walaupun berat apabila seorang ayah kehilangan anak, memang sedih sangat apatah lagi dalam kejadian tragis ini,” katanya.

Insiden kebakaran yang menyebabkan seorang lelaki warga emas dan anak angkatnya ditemukan rentung di sebuah rumah di Tongkang Yard, kelmarin kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Siasatan mengikut Seksyen 302 diputuskan selepas siasatan polis bersama bomba menemukan petrol yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Sehubungan itu, polis sudah menahan lima suspek termasuk anak saudara mangsa yang juga suspek utama kejadian beberapa jam selepas kejadian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini