Tumpuan :
Nasional

Kebakaran rumah di Penampang sebabkan 2 maut

Pasukan bomba menjalankan operasi memadam kebakaran rumah di Kampung Limbanak, Penampang. FOTO: Ihsan Bomba

PENAMPANG: Dua individu dilaporkan maut dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Limbanak, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam kira-kira jam 3 pagi itu, seorang mangsa dilaporkan terkena renjatan elektrik manakala seorang lagi rentung selepas dipercayai terperangkap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.26 pagi.

Katanya, sepasukan 19 anggota dan pegawai bersama jentera dari BBP Penampang dan BBP Putatan terus dikerah ke lokasi kejadian untuk membantu.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dengan keluasan 185 meter persegi yang terbakar 100 peratus.

“Terdapat dua mangsa meninggal dunia yang disahkan oleh petugas Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zeno berkata, seorang dipercayai terkena renjatan elektrik manakala seorang lagi ditemui rentung di dalam rumah.

“Api berjaya dikawal pada jam 4.31 pagi dan setakat ini kerja-kerja pemadaman masih dijalankan. Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan unit forensik bomba,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini