Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
SUNGAI BULOH: Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh menghadapi kesukaran untuk mendapatkan sumber air yang cukup bagi memadamkan pusat pelupusan sampah haram yang terbakar di sini sejak Khamis lalu.
Ketua BBP Sungai Buloh, Azmel Kamarudin berkata, sumber air daripada jentera bomba sahaja tidak mencukupi untuk memadamkan tapak pelupusan yang berkeluasan 5,000 kaki persegi itu.
“Memang kami menghadapi kesukaran bekalan air, jika berharap pada jentera bomba memang tak cukuplah.
“Kita mendapatkan sumber-sumber air daripada pili bomba yang berhampiran, dari kolej asrama kesihatan (Asrama Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sungai Buloh) ke sini (lokasi kebakaran) lebih kurang 1,500 kaki. jadinya 15 gulung hos kita gunakan.
“Semalam berlaku sedikit kesukaran kerana orang bercuti gamaknya, kita dapat alternatif lain, kita dapat sumber air terbuka kita buat satu empangan kecil, takungan air,” katanya kepada Buletin TV3.
Mengulas lanjut, pihaknya akan terus menggunakan kaedah sama iaitu tembakan air secara langsung kepada punca api.
Katanya, kaedah pemadaman yang dilaksanakan memerlukan bantuan jentera jengkaut bagi memudahkan tembakan air ke arah punca api di dalam longgokkan sampah berkenaan.
Tambahnya, setakat pagi tadi, operasi pemadaman masih sama dengan semalam iaitu 40 peratus daripada keseluruhan lokasi terbakar berjaya dipadamkan.
Azmel berkata pihaknya memerlukan beberapa hari lagi untuk memadamkan tapak pelupusan itu sepenuhnya berdasarkan beberapa faktor dan kekangan yang ada.
Antara faktor yang menyukarkan pihaknya memadamkan api selain daripada sumber air adalah pertukaran tiupan arah angin.
Bagaimanapun, sehingga ke hari ini operasi pemadaman diteruskan selama 24 jam bagi mengelakkan daripada api terus merebak.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.