comscore
Tumpuan :
Nasional

Kebakaran longgokan tayar terpakai, nyaris sebabkan kilang kayu musnah

SIBU: Sebuah kilang kayu di Sungai Bidut di sini nyaris musnah dijilat api apabila longgokan tayar terpakai yang diletak berhampiran kilang berkenaan terbakar.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar jam 9.08 malam, lalu mengarahkan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dibantu 14 anggota dari BBP Sibu ke lokasi.

“Sampai di lokasi, setelah membuat size up, didapati kebakaran melibatkan longgokan tayar terpakai yang berada di bahagian dalam dan luar kilang kayu sedang marak terbakar.

“Kebakaran juga telah merebak ke timbunan kayu yang telah siap diproses yang berada berhampiran longgokan tayar terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, anggota bomba mengunakan kaedah pemadaman kawalan kebakaran ofensif bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke seluruh bangunan.

Katanya, kebakaran terbabit juga mengakibatkan timbunan kayu yang telah siap diproses terbakar namun ia berjaya dikawal.

Komander operasi turut memohon bantuan jentera ‘forklift’ kilang terbabit untuk membantu mengalihkan timbunan kayu bagi memudahkan lagi operasi pemadaman.

Pihak bomba mengambil masa hampir tiga jam untuk memadamkan kebakaran tersebut yang memusnahkan sembilan peratus struktur kilang terbabit.

Operasi itu kemudianya ditamatkan pada jam 11.50 malam dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini