Oleh Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Kebakaran kawasan lalang di tepi jalan di KM43.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menyebabkan kesesakan kerana jarak penglihatan pemandu yang merosot.
Kejadian berlaku pagi tadi, mengakibatkan kepulan asap yang banyak di udara.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba, Wan Azizul Hakim Wan Jaafar memaklumkan pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 10.19 pagi.
“Kawasan kebakaran dianggarkan seluas satu hektar, melibatkan lalang di kawasan tepi lebuhraya ini.”
” Kerja pemadaman dilakukan menggunakan air dari tangki bomba dan menggunakan ‘fire beater” oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau memaklumkan, operasi memadamkan kebakaran lalang turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela dan pihak PLUS.
Kerja pemadaman tamat sekitar jam 2.30 petang.