KLANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan kawalan keselamatan, termasuk memasang pita penghadang di jalan menuju ke lokasi insiden letupan sebuah kilang kimia di Kawasan Perindustrian Sungai Kapar Indah, di sini, hari ini.
Hasil tinjauan BH mendapati selain pasukan PDRM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, turut berada di lokasi kejadian ialah petugas dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bersama ambulans serta anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan kawalan keselamatan, termasuk memasang pita penghadang di jalan menuju ke lokasi insiden letupan sebuah kilang kimia di Kawasan Perindustrian Sungai Kapar Indah, hari ini. pic.twitter.com/3kyoUUdTKG
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 20, 2025
Selain itu, pos kawalan bomba juga dilihat beroperasi berhampiran lokasi kejadian.
Sementara itu jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara berkata, sebuah pasukan kini berada di HTAR untuk memastikan keadaan mangsa kejadian dan akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.
Difahamkan, terdapat beberapa individu dihantar ke HTAR akibat sakit dan pedih mata berikutan letupan itu.
Terdahulu, media melaporkan polis mendapati kejadian letupan kilang berkenaan dipercayai berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di premis itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dipetik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.45 petang berhubung insiden itu.
Hussein berkata, kejadian itu menyebabkan kerosakan pada bangunan kilang terbabit serta kilang berhampiran, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, setakat ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.