SHAH ALAM: Polis mendapati letupan di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Kapar, Klang, petang tadi berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di premis itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.45 petang berhubung kejadian letupan di lokasi berkenaan.
“Terdapat kerosakan pada bangunan kilang terbabit dan juga kilang berhampiran.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Pihak bomba, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.32 petang tadi.
“Komander Operasi melaporkan, pihaknya tiba di lokasi dan terdapat asap berwarna kuning yang memedihkan mata.
“Kemudian, Pasukan HAZMAT tiba dilokasi dan membuat pengujian udara dan mendapati udara dalam keadaan normal.
“Bahan yang didapati terbakar adalah ‘recycle asid’. Terdapat sebuah lori tanker didapati hancur akibat dari letupan dan terbakar,” katanya kepada media, sebentar tadi.
Ahmad Mukhlis berkata, pasukan HAZMAT masih membuat pemantauan di lokasi dan menunggu Jabatan Alam Sekitar (JAS) hadir ke lokasi.
Seramai tujuh anggota pasukan HAZMAT bersama satu jentera diturunkan dalam operasi berkenaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.