PETALING JAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor telah menempatkan dua alat pengukur udara di sekitar lokasi kebakaran kilang cat di Taman Perindustrian Meru.
Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar ketika dihubungi Buletin TV3 memaklumkan pemantauan berterusan akan dilakukan sehingga esok bagi mengesan sekiranya wujud bahan kimia dibebaskan ekoran kejadian itu.
“Kita sudah pasang alat pengawasan kualiti udara di Sekolah Kebangsaan Meru buat masa ini alat tersebut masih membuat bacaan tapi setakat tadi dalam pukul 2 petang kita tengok bacaan setakat ini normal. Tapi kita teruskan pemantauan sekurang kurangnya sehingga esok hari.
“Kita letak dua alat dan salah satu alat itu memang kita khususkan membuat pemantauan gas-gas berkemungkinan terlepas ke udara akibat insiden kebakaran,” jelasnya.
Mengulas lanjut jelas Nor Aziah, pihaknya turut mengarahkan kilang berkenaan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kimia yang didapati turut mengalir di sekitar kawasan berhampiran.
“Kita buat pemantauan dalam radius 300 meter daripada kawasan insiden, sekiranya kita mengesan sebarang bacaan tidak normal kita akan memaklumkan kepada Pegawai Daerah untuk tindakan lanjut. Kebakaran kilang ini kebakaran biasa, tapi apa yang kita perlu ambil berat kerana yang terbakar itu pelarut dan bahan kimia pembuatan cat.
“Susulan insiden kebakaran, ada bahan-bahan mengalir ke sistem perparitan sekitar. Ada yang bertakung di kawasan parti di Sekolah Kebangsaan Meru, tapi telah dibersihkan. Ia hanya pigmen cat, JAS telah arahkan pihak kilang untuk sedut semua dan ketika ini telah selesai,” jelasnya lagi.
Tambah Nor Aziah, ketika ini JAS akan terus memantau di sekitar kawasan kejadian serta kendalian sisa-sisa cat yang terbakar di kilang berkenaan.
Terdahulu, dua buah kilang cat di Taman Perindustrian Meru, Kapar, Selangor musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.34 pagi.
Seramai 39 pegawai dan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar, BBP Bukit Jelutong, BBP Andalas, BBP Pelabuhan Klang, BBP Shah Alam dan BBP Rawang segera dikejarkan ke lokasi dan difahamkan kerja-kerja pemadaman hampir selesai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.