Oleh: Fahmi Tajuddin
KAPAR: Situasi kebakaran melibatkan dua buah bangunan kilang cat di Taman Perindustrian Meru awal pagi tadi berjaya dikawal 100 peratus.
Bagaimanapun, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Yazli Yahya berkata, meskipun kebakaran sudah terkawal, namun kerja-kerja baik pulih sedang giat dilakukan oleh pihak Bomba di kawasan insiden berkenaan.
“Situasi kebakaran 100 peratus telah terkawal, walau bagaimanapun kami sedang membuat kerja overhaul bagi memastikan kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya.
“Jangkaan operasi tamat sepenuhnya berkemungkinan sehingga lewat malam ini ataupun esok pagi,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
Selain itu, beliau berkata setakat petang Isnin, sejumlah lapan buah jentera melibat 33 anggota Bomba dari BBP di seluruh Klang dan Shah Alam dikerahkan ke lokasi untuk membantu proses pemadaman dan baik pulih kawasan kilang berkenaan.
Katanya lagi, punca kejadian masih dalam siasatan oleh pihak Forensik.
Kebakaran berskala besar dua buah bangunan kilang berkenaan berlaku sekitar jam 6.30 pagi di Taman Perindustrian Meru hingga menyebabkan satu kebakaran susulan berlaku di kawasan perumahan penduduk setempat.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.