Tumpuan :
Nasional

Kebakaran kedai makan, pelajar cedera 

MARANG: Seorang pelajar tingkatan lima cedera akibat kedai makan milik bapa terbakar, di Kampung Merchang, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang, Zulbahry Sulong, berkata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang
itu dikejarkan ke Klinik Kesihatan (KK) Merchang untuk rawatan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 10.36 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian bersama empat jentera termasuk kenderaan Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

“Ketika tiba di lokasi, kita mendapati terdapat tiga individu termasuk pelajar terbabit sedang memunggah barang keluar daripada premis berkenaan sebelum pasukan bomba melakukan pemadaman,” katanya.

Beliau berkata, selepas kebakaran dipadamkan, pelajar terbabit kelihatan sukar untuk bernafas.

“Kita percaya mangsa terhidu asap ketika membantu membawa keluar barang dari kedai berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun dilaporkan dalam keadaan stabil.

Tambahnya kebakaran itu menyebabkan 80 peratus struktur kedai makan terbabit hangus.

Loading...
Terkini