TUARAN: Kebakaran hutan berhampiran Kampung Tambalugu dan Bakut, dekat sini yang terbakar sejak tengah hari tadi mula merebak ke perkampungan berhampiran.
Lokasi kebakaran yang terlalu hampir dengan rumah penduduk, menyebabkan penghuni sudah mula mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan harta benda mereka musnah.
Turut terjejas, kebun getah dan buah-buahan milik penduduk di daerah Tamparuli dan Kiulu.
Kawasan yang ditumbuhi rumput panjang dan lalang kering seperti sawah terbiar juga terbakar, sama ada kejadian itu disengajakan atau terbakar sendiri.
Kejadian itu menyebabkan daerah ini diselubungi asap tebal sejak beberapa hari lalu
Sementara itu, kebakaran yang memusnah hutan di Kampung Bantayan, Rambai dan Topokon, Tamparuli mula reda.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tuaran, sentiasa melakukan pemantauan dan berada di beberapa lokasi kebakaran bagi memastikan api marak tidak merebak ke kawasan lain terutama perkampungan penduduk.
Dalam perkembangan berkaitan, JBPM Sabah merekodkan lebih 500 kes kebakaran kebun, ladang, hutan, belukar dan lalang sejak Januari lalu.
Sehubungan itu, JBPM menasihatkan orang ramai tidak menyebabkan atau memulakan sebarang pembakaran terbuka ketika musim panas.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.