Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kebakaran Hospital Papar: Operasi harian dalam keadaan terkawal

FOTO: Ihsan Pejabat Ahli Parlimen Papar

Oleh: Safwan Sawi

PAPAR: Operasi Hospital Papar masih berada dalam keadaan terkawal dan berjalan seperti biasa hari ini.

Tinjauan mendapati hanya stor perubatan farmasi dan sebuah bangunan bilik sajian makanan tidak dapat beroperasi sepenuhnya susulan insiden kebakaran semalam.

Pejabat Ahli Parlimen Papar ketika dihubungi berkata, pihaknya terus memantau situasi itu dan terus membekalkan makanan dan minuman sehingga pihak hospital dapat menyediakan makanan melalui pihak pembekal luar.

“Semalam pejabat Parlimen bertindak mendirikan khemah sementara untuk pesakit dan kakitangan hospital yang terjejas namun kesemua yang terlibat sudah dipindahkan semula ke dalam bangunan hospital hari ini,” kata jurucakap Pejabat Ahli Parlimen Papar ketika dihubungi Buletin Tv3.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna berkata, para pesakit yang kurang stabil serta memerlukan rawatan dan penjagaan rapi telah dirujuk ke hospital berdekatan.

FOTO: Ihsan Pejabat Ahli Parlimen Papar

“Pihak Hospital Papar dengan koordinasi bersama Ibu Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Sabah telah mengaktifkan pelan kontigensi untuk memastikan perkhidmatan kesihatan tidak terganggu, serta sentiasa siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke Hospital Papar semalam sebaik sahaja menerima berita mengenai kebakaran yang memusnahkan bangunan stor farmasi di hospital berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, laporan terkini tiada mangsa terlibat dalam kebakaran yang mengakibatkan dua bangunan di Hospital Papar terjejas dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 7 malam tadi.

Berdasarkan laporan setakat pagi tadi, stor perubatan farmasi jenis kekal yang berkeluasan 15.24 x 6.09 meter persegi terbakar sepenuhnya dan sebuah bangunan bilik sajian makanan hanya terkena bahangan.

FOTO: Ihsan Pejabat Ahli Parlimen Papar

“Pasukan Bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan 60 meter sumber air dari jentera dan pili Bomba terdekat.

“Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) Hospital juga menggunakan tiga aliran ‘Hose reel’ bangunan hospital untuk membuat pemadaman awal di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya pasukan khas bomba – Hazmat juga membuat pemeriksaan di lokasi kebakaran dan tiada sebarang keberbahayaan melibatkan bahan kimia, radioaktif dan gas beracun.

Kebakaran dapat dikawal pada jam 8.46 malam dan tamat sepenuhnya jam 11.20 malam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini