Oleh: Fareez Azman
NILAI: Operasi pemadaman kebakaran sebuah gudang karpet yang terbakar di Nilai 3 semalam diteruskan hari ini dengan kerja pembersihan sisa kebakaran.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Bakarya Mohd Salleh, 95 peratus api telah dipadamkan sehingga jam 12.00 tengah hari.
“Hari ini, tindakan operasi kita melibatkan kerja-kerja overhaul (pembersihan sisa kebakaran). Kami dapati kerja sedikit sukar kerana bara api masih berada di bawah runtuhan zink bangunan.
“Kami jangkakan operasi ini akan tamat sekitar jam 2 atau 3 petang,” katanya.
Menerusi pemerhatian Buletin TV3 sejak awal pagi mendapati, 31 anggota dan pegawai dari BBP Nilai, BBP Seremban, BBP Seremban 2 dan BBP Mantin meneruskan kerja pemadaman dibantu empat jentera bomba.
Tambahnya penggunaan jentera berat ketika ini turut dihentikan bagi mengelak gangguan terhadap siasatan pasukan Forensik.
“Setakat ini, kami kurangkan penggunaan jentera berat untuk membantu pasukan penyiasat menjalankan siasatan mereka.
“Kami bimbang apabila terlalu banyak menggunakan jentera berat, ia akan mengganggu hasil siasatan. Sekarang, kami boleh katakan 95 peratus kebakaran telah dipadamkan,” katanya lagi.
Semalam, gudang karpet berkeluasan 700 kaki X 500 kaki persegi itu dilaporkan terbakar sekitar jam 8 pagi.
Kebakaran merebak dengan pantas menyebabkan kepulan asap dapat dilihat dari jauh di sekitar daerah Nilai.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.