Tumpuan :
Nasional

Kebakaran gudang: JAS Kedah teruskan kerja inventori buangan terjadual

Foto: Ihsan JAS Kedah

Oleh: Kumaran Rajamoney

SUNGAI PETANI: Gudang sebuah kilang yang terbakar di Bukit Selambau di sini pada Ahad lalu, didapati tidak mengikut spesifikasi penstoran bahan buang toksik berbahaya seperti ditetapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab memaklumkan dapatan itu hasil kerja inventori buangan terjadual  di ketiga-tiga premis, yang masih dijalankan.

Foto: Ihsan JAS Kedah

“Premis-premis yang beroperasi tanpa kelulusan ini dilihat menyimpan percampuran bahan buangan yang tidak terurus dan tidak serasi juga berpotensi menyebabkan bahan-bahan bertindakbalas,  meletup atau menyebabkan kebakaran.

“Bagi premis-premis yang berlesen dengan Jabatan Alam Sekitar, premis diwajibkan menggunakan khidmat orang berwibawa (competent person) bagi mengawasi operasi premis,” katanya.

Foto: Ihsan JAS Kedah

Premis-premis berlesen juga tertakluk kepada keperluan empat kali pemeriksaan wajib setahun oleh JAS, selain perlu mengemukakan laporan audit alam sekitar oleh pihak ketiga sekurang-kurangnya sekali setahun.

Selain itu, ia juga tertakluk kepada keperluan memperbaharui lesen setiap tahun dengan lesen digantung atau  tidak diperbaharui sekiranya tidak mencapai tahap pematuhan memuaskan.

“Secara umumnya premis-premis ini menempatkan pelbagai buangan seperti sekerap logam, buangan elektrik dan elektronik, bateri lithium, transformer dan  asid terpakai. Persampelan tambahan akan turut dijalankan jika perlu.

“Kerja-kerja juga perlu dilakukan dengan berhati-hati dan perlu dihentikan sekiranya hujan, kerana terdapat bahan-bahan seperti bateri lithium yang masih boleh bertindakbalas dan meletup sekiranya terkena air,” tambahnya.

Foto: Ihsan JAS Kedah

Jelas beliau, peralatan perlindungan diri (PPE) masih perlu dipakai bagi mengelakkan kakitangan terhidu gas-gas toksik berikutan keadaan dalam premis masih tercemar.

Pada Ahad lalu, kebakaran besar gudang kilang itu menyebabkan letupan dan percikan seperti bunga api.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini