Tumpuan :
Nasional

Kebakaran di Umbai: TYT Melaka lawat kediaman 5 sekeluarga rentung

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

JASIN: Yang Di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam mengadakan lawatan bagi melihat keadaan kediaman yang mengorbankan lima sekeluarga dalam kebakaran di Umbai awal pagi tadi.

Simpati dengan nasib yang menimpa keluarga mangsa, Tun Dr Mohd Ali yang tiba jam 12.30 tengah hari tadi meluangkan masa hampir 20 minit meninjau lokasi kebakaran dan bertanya khabar jiran di sekitar kawasan.

Dalam kejadian jam 1.35 pagi tadi, lima sekeluarga ditemui rentung dalam kebakaran di kediaman mereka di Kampung Berangan 6, Umbai di sini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, menerima panggilan kecemasan jam 1.40 pagi tadi dan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Padang Temu segera dikerahkan ke lokasi.

Sebaik tiba di tempat kejadian, rumah separuh kekal itu dilaporkan telah terbakar 80 peratus.

Api berjaya dikawal jam 3 pagi tadi, manakala punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Mangsa, Laila Fathinah Mustapa, 35, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13, Izz Daffa Hafizuddin, 7, Nur Dalilah Khadijah, 5, dan Izz Danish Fathi, 2 meninggal dunia, manakala suami kepada Laila, Muhammad Khairuddin Saari, 35, terselamat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini