Tumpuan :
Nasional

Kebakaran di Umbai: JKM salur khidmat psikologi kepada mangsa terselamat

Kaunselor JKM Melaka ketika sesi khidmat kaunseling dan psikologi kepada Muhammad Khairuddin. – FOTO: JKM Melaka

MELAKA: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka menyalurkan bantuan termasuk khidmat psikologi kepada waris Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya yang terkorban selepas rumah sewa mereka di Kampung Berangan Enam, Umbai, musnah terbakar semalam.

Pengarahnya, Halyjah Muhamad berkata, bantuan khidmat psikologi itu diberikan kepada suami Laila Fathinah iaitu Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, yang terselamat namun mengalami trauma teruk akibat kematian lima ahli keluarga serentak.

“Dalam lawatan di Hospital Jasin semalam pihak jabatan sudah memberikan bantuan psikologi kepada waris terutamanya si bapa yang dilihat sangat trauma dengan kematian keluarganya.

“Menerusi lawatan bersama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Negeri Melaka, Datuk Kalsom Noordin itu kita juga menyalurkan bantuan segera RM300 kepada waris berserta kit ziarah kasih,” katanya dihubungi di sini.

Menurutnya, sesi kaunseling kedua diadakan jam 3 petang tadi di sebuah inap desa oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat, Muhammad Firdaus Osman dan Nurul Suhana Saiful Azman.

“Kita melakukan intervensi terhadap mangsa yang kehilangan isteri dan anak akibat kebakaran dan memerlukan bantuan dari segi emosi dan mental.

“Mangsa mempunyai dua lagi anak yang tinggal bersama nenek dan dia akan tinggal bersama bapa saudara di Kuala Lumpur selepas selesai urusan pengebumian,” katanya.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi semalam, Laila Fathinah dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah,13; Izz Daffa Hafizuddin,7; Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4, ditemui rentung di dalam rumah separa kayu dan batu itu, hasil pemeriksaan bomba selepas api dipadamkan.

Halyjah berkata, keluarga Laila Fathinah yang hamil lima bulan adalah penerima bantuan kewangan JKM berjumlah RM1,000 sebulan untuk anak-anaknya, selain Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyalurkan makanan bulanan bernilai RM250.

“Cuma selepas anak-anak meninggal dunia kita akan meneliti bantuan lain yang bersesuaian untuk diberikan kepada bapa selepas ini.

“Sekali lagi, pihak JKM menzahirkan rasa simpati atas kejadian yang menyayat hati ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini