![](https://media.buletintv3.my/2025/02/4bRa5dft-BULETIN-TV3-AD-75.jpg)
JASIN: “Saya dengar suaminya jerit minta isteri dan anak-anaknya keluar tapi tidak boleh kerana semua pintu rumah berjeriji serta berkunci, jadi dia tak boleh buat apa,” kata Abdul Kahar Ahmad, 70.
Warga emas itu adalah jiran kepada mangsa yang maut dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, di sini, awal pagi hari ini.
Menurutnya, ketika kejadian jam 1.32 pagi itu, dia dan isterinya berada di bahagian dapur rumah yang terletak bersebelahan rumah mangsa yang dihuni enam sekeluarga sejak tiga tahun lalu.
“Saya pun sedih, kira-kira jam 1 pagi saya minta isteri buat air sebelum terdengar bunyi bising seperti orang bergaduh dari belakang rumah.
“Isteri keluar untuk periksa dan nampak api marak dari bumbung dan tingkap di rumah mangsa,” katanya sebak ditemui Harian Metro di tempat kejadian, hari ini.
Katanya, dalam keadaan cemas itu anak lelakinya berusia 24 tahun menghubungi bomba, selain cuba memadam api dengan air paip sebelum beredar kerana bimbang api marak.
Abdul Kahar berkata, lebih menyedihkan beliau difahamkan keluarga itu baru ditimpa kemalangan jalan raya di Alor Gajah dua minggu lalu sebelum diuji dengan kebakaran itu.
“Saya dimaklumkan si suami mengalami patah kaki dalam kemalangan itu dan yang lain selamat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan lima beranak termasuk empat kanak-kanak rentung selepas kediaman mereka di Jalan Bakti, Kampung Berangan 6, Umbai di sini, musnah dalam kebakaran.
Komander Operasi, Mohd Sufian Abu Bakar dilapor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 1.40 pagi daripada orang awam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.