Tumpuan :
Nasional

Kebakaran di Umbai: 5 sekeluarga rentung, Kerajaan Melaka zahir dukacita

FOTO: Ihsan JBPM Melaka

JASIN: Kerajaan Melaka menzahirkan rasa dukacita atas tragedi kebakaran rumah separuh kekal di Kampung Berangan Enam, Umbai, awal pagi tadi yang mengorbankan lima nyawa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berharap keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan ini dan mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat.

“Saya dimaklumkan, lima mangsa yang terkorban ialah seorang wanita berusia 35 tahun, tiga kanak-kanak perempuan berusia 13, enam dan tiga tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.

“Seorang lagi lelaki dewasa berusia 34 tahun terselamat dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

“Saya berdukacita atas musibah ini dan berdoa agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dalam menghadapi saat yang sukar.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh semua mangsa dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Sementara itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam turut melawat lokasi kejadian tengah hari tadi, manakala Ab Rauf melawat keluarga mangsa di Hospital Jasin.

Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi, lima sekeluarga termasuk empat kanak-kanak rentung selepas kediaman mereka di Jalan Bakti, Kampung Berangan Enam musnah dalam kebakaran.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Sufian Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.40 pagi.

Dua jentera bersama 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dan Padang Temu dikejarkan ke lokasi serta tiba pada jam 1.51 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini