KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan rakyat Malaysia di Amerika Syarikat (AS) berada dalam keadaan selamat susulan kebakaran hutan terbesar melanda Los Angeles dan kawasan sekitarnya.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan, ketika dihubungi, berkata Wisma Putra melalui Kedutaan Malaysia di Washington DC dan Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles sedang memantau rapi situasi berkenaan.
“Alhamdulillah, tiada rakyat Malaysia yang terbabit dalam bencana kebakaran di sana (Los Angeles). Konsul Malaysia di Los Angeles sentiasa memantau keadaan dan memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia di kawasan terjejas.
“Menurut laporan terkini keadaan di California pada 10 Januari 2025, ada kemajuan dalam usaha mengawal kebakaran utama apabila angin mula berkurangan.
“Namun begitu, kebakaran baru yang dinamakan sebagai ‘Archer Fire’ tercetus di Granada Hills. Perintah pemindahan mandatori dikeluarkan, tetapi kemudiannya ditarik balik menjelang tengah hari,” katanya.
Beliau berkata, menurut laporan diterimanya setakat ini, lebih 9,000 struktur musnah dan sekurang-kurangnya 180,000 penduduk masih berada di bawah arahan pemindahan akibat kebakaran.
Berdasarkan laporan diterima itu, katanya, kerugian ekonomi dan kerosakan dianggarkan antara AS$52 bilion (kira-kira RM233.9 bilion) hingga AS$57 bilion (kira-kira RM256.4 bilion).
“Sebagai sebahagian daripada usaha proaktif, Konsul Jeneral Malaysia dan Pengarah Pendidikan Malaysia sudah bertemu dengan beberapa pelajar Universiti California Los Angeles (UCLA) untuk memantau kesejahteraan mereka dan memastikan keselamatan mereka pada masa ini.
“Konsulat kita di Los Angeles tidak menerima sebarang laporan atau permintaan bantuan daripada rakyat Malaysia yang terjejas akibat kebakaran. Namun, kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan bersedia untuk memberikan sokongan jika diperlukan.
“Kami memahami kebimbangan rakyat Malaysia di tanah air terhadap ahli keluarga atau kenalan di AS. Justeru, kami akan terus mengemas kini perkembangan terkini situasi ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau juga menyeru rakyat Malaysia di kawasan terjejas untuk mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan segera menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia sekiranya memerlukan bantuan.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian hotline Kedutaan Malaysia di Washington DC atau Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles yang beroperasi 24 jam bagi menangani sebarang kecemasan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.