KUALA LUMPUR: Tiga pelajar Malaysia di Universiti California Los Angeles (UCLA) sudah dipindahkan ke tempat selamat susulan kebakaran di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) yang kini dilaporkan semakin merebak.
Dalam maklum balas ringkas menerusi aplikasi WhatsApp kepada wartawan sebentar tadi, Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, kawasan kebakaran Pacific Palisades dijangka merebak lebih luas kerana angin kencang yang diramalkan dari malam ini hingga Rabu.
“Tiga pelajar Malaysia yang tinggal di luar kampus UCLA sudah menerima amaran pemindahan dan kini ditempatkan dengan selamat di salah satu kediaman kakitangan kedutaan (Home Based Staff, HBS) bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka,” katanya.
Mohamed Nazri berkata, menurut laporan terkini Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, sekiranya keadaan semakin buruk maka lebih ramai pelajar mungkin dipindahkan.
Beliau berkata, misi diplomatik Malaysia sudah bersiap sedia dengan pelbagai langkah termasuk menyediakan beberapa lagi kediaman HBS untuk menampung pemindahan.
“Menurut laporan saya terima, perkembangan situasi akan terus dipantau dengan teliti dan menyediakan kemas kini harian jika diperlukan,” katanya.
Terdahulu petang tadi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan 14 pelajar Malaysia terkesan dengan insiden kebakaran di Los Angeles itu.
Jabatan Pendidikan Tinggi KPT dalam kenyataan berkata, semua pelajar terbabit adalah penuntut di UCLA dan mereka sudah diberikan bantuan serta rangka pelan evakuasi jika diperlukan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.