Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan
KUALA LUMPUR: Kelewatan kemasukan sebahagian pesakit ke wad di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS) berpunca daripada kebakaran di bilik suis utama hospital pada hari tersebut yang menyebabkan gangguan operasi ketika itu.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Dr Harlina Abdul Rashid, jumlah kedatangan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) yang agak tinggi pada waktu itu, selain ketiadaan katil kosong di wad juga menyumbang kepada isu kelewatan.
“Semakan mendapati pemerhatian yang dilaporkan telah dibuat pada Khamis, 26 Disember 2024.
“Merujuk kepada laporan dalam sebuah media pada Jumaat, 27 Disember 2024 berkenaan waktu menunggu yang lama untuk dimasukkan ke wad di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban (HTJS), pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Negeri Sembilan dan HTJS mengakui bahawa terdapat kelewatan dalam kemasukan sebahagian pesakit ke wad, dan situasi tersebut adalah amat dikesali.
“Untuk pengetahuan umum, telah berlaku kebakaran di bilik suis utama substation hospital pada hari tersebut yang telah menyebabkan sedikit gangguan operasi ketika itu.
Selain itu katanya, jumlah kedatangan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD) yang agak tinggi pada waktu itu, ketiadaan katil kosong di wad juga menyumbang kepada kelewatan.
“Bagi mengurangkan kesesakan yang timbul, sebuah ‘discharge lounge’ yang memuatkan 6 katil dan ‘holding bay’ dengan kapasiti 12 katil sebagai wad transit sementara telah disediakan untuk mengurangkan impak kelewatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, sebagai langkah penambahbaikan seterusnya, tindakan yang telah dirangka sebelum ini akan terus diperkasa dan diaktifkan jika situasi yang sama berlaku supaya isu menunggu lama dapat diatasi pada masa akan datang.
“Antaranya, situasi setiap syif di ETD sentiasa dipantau supaya pesakit dapat diberikan prioriti yang bersesuaian selain melaksanakan aktiviti ‘step-down’ pesakit iaitu memindahkan kes-kes yang bersesuaian ke hospital hospital lain di Negeri Sembilan akan dibuat jika perlu,” ujarnya.
Malah katanya, mobilisasi segera kakitangan tambahan ke ETD turut akan dilakukan jika diperlukan.
“Selain itu, orang ramai yang mempunyai gejala ringan turut dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan (KK) terdekat. Ini bagi membolehkan ETD di hospital memberikan tumpuan kepada kes-kes kecemasan dan mengurangkan kesesakan di hospital.” katanya lagi.
Sebelum ini, tular di media sosial berhubung isu kelewatan dan kesesakan wad di HTJS. Ada dalam kalangan pesakit yang mengadu perlu menunggu hampir lima jam untuk ditempatkan di dalam wad.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.