JERANTUT: Usaha kakitangan sekolah segera memadam kebakaran dalam bilik guru SK Jerantut Jaya berjaya menyelamatkan struktur bangunan itu.
Kebakaran yang berlaku pagi tadi dilaporkan membabitkan hanya sebahagian ruang bilik guru sekolah terbabit yang memuatkan perkakas komputer.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pahang dalam satu kenyataan berkata bagaimanapun kejadian jam 11.10 pagi itu tidak melibatkan sebarang insiden nyawa.
“Komander operasi lapor benar berlaku kebakaran melibatkan perkakasan komputer di dalam bilik guru, dan kebakaran tidak melibatkan struktur bangunan.
“Kebakaran telah dipadamkan oleh kakitangan sekolah dengan menggunakan alat pemadam api jenis debu kering,” katanya.
Seramai lapan anggota bomba ke lokasi nahas untuk membuat pemeriksaan di lokasi bagi memastikan keadaan benar-benar selamat.
Siasatan lanjut punca kejadian dan anggaran kos kerugian masih dalam penilaian lanjut.