
SEREMBAN: Pusat Pengurusan Sisa Kualiti Alam Sdn Bhd mendapati bacaan udara dan gas di tapak serta kawasan sekitarnya menunjukkan keadaan normal susulan kebakaran, petang semalam.
Pengarah Urusan Kumpulan Cenviro yang memiliki syarikat Kualiti Alam, Dr Johari Jalil berkata pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menjalankan pemeriksaan terperinci bagi memastikan keselamatan fasiliti sebelum kembali melakukan operasi.
Tambahnya, ini termasuk bagi melindungi kebajikan pekerja dan komuniti sekitar.
Jelasnya, kebakaran di Pusat Pengurusan Sisa Kualiti Alam di Bukit Pelanduk, Port Dickson itu berjaya dikawal sekitar jam 8.20 malam tadi dan tidak menjejaskan operasi harian mereka.
“Ia hanya menjejaskan sebahagian kapasiti pergudangan dan tidak memberi kesan kepada operasi harian fasiliti Pusat Pengurusan Sisa (WMC) kami,” katanya, hari ini.

Katanya, pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mengenal pasti punca kebakaran.
“Pasukan Kesihatan, Keselamatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE) kami sentiasa memantau kualiti udara, dan bacaan gas di tapak dan kawasan sekitarnya, setakat ini tiada bacaan yang tidak normal,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.