Oleh: Kumaran Rajamoney
SUNGAI PETANI: Setakat jam 8 pagi hari ini, pasukan bomba masih belum dapat memadamkan sepenuhnya api kebakaran membabitkan tiga gudang simpanan barang terpakai sebuah kilang di Bukit Selambau yang berlaku malam tadi.
Ini kerana masih terdapat timbunan barang-barang yang sedang terbakar dan pihak bomba sedang menunggu jengkaut masuk untuk mengorek timbunan bahan-bahan yang masih terbakar.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, keadaan api ketika ini kira-kira 40 peratus lagi untuk dipadamkan.
“Kebakaran membabitkan 100 peratus kawasan gudang berkenaan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu malah operasi masih sedang berjalan ketika ini,” katanya.
“Operasi membabitkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin bersama tiga pegawai, 22 anggota, 145 anggota ukarelawan, 17 jentera dan sebuah ambulans.
Media semalam melaporkan tiga gudang yang menyimpan barangan terpakai seperti logam, wayar dan tembaga di Bukit Selambau, di sini musnah dalam kebakaran sehingga menyebabkan letupan bunga api, malam tadi.
Sementara itu Zaidy berkata, tiga gudang di Bukit Selambau yang menjalankan operasi memproses aloi kepada aluminium yang diambil daripada barang-barang elektronik terpakai dipercayai beroperasi sejak lima bulan lalu.
Menurut beliau, berdasarkan temubual saksi di lokasi kejadian dengan seorang lelaki warga China dipercayai juruteknik kilang berkenaan yang dibantu jurubahasa lelaki tempatan memaklumkan, dia menyedari kejadian itu pada jam 7.50 malam tadi selepas ternampak api besar dalam kawasan kilang.
“Saksi berasa takut dan terus keluar melarikan diri ikut pintu belakang selain memaklumkan gudang itu beroperasi sejak lima bulan lalu.
“Bagaimanapun setakat ini punca kebakaran belum diketahui dan siasatan masih dilakukan oleh pihak Bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.