comscore
Tumpuan :
Nasional

Keamanan dan keharmonian Malaysia dikagumi dunia, wajar dipertahankan- PM

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia terus mempertahankan keamanan dan keharmonian di negara ini.

Jelasnya, Malaysia dikagumi kerana kebijaksanaannya mengurus rakyat yang bertoleransi meskipun lahir daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama.

“Saya mengunjungi India, Pakistan dan Bangladesh baru-baru ini. Malaysia diberikan penghormatan tertinggi kerana kita mempunyai rekod baik mengurus negara ini dengan aman. Dia tahu negara ini ada Muslim, Hindu, Sikh, Buddha, Kristian semua ada tapi dia tahu negara ini aman, dan kita bangga. Kita bangga kerana rakyat kita.”

“Kadang-kadang, mereka mempunyai pergeseran yang lebih teruk dari kita. Bila mereka tanya, saya jawab kita beri jaminan ruang diberikan untuk mendengar dan bincang perkara yang rakyat kita tidak puas hati,” katanya.

Justeru, Datuk Seri Anwar mahu imej ini dipertahankan agar limpahannya dapat dirasai menerusi kemakmuran ekonomi.

Beliau juga memberikan jaminan, tiada rakyat akan terpinggir dalam soal pembasmian kemiskinan yang menjadi antara agenda penting pentadbiran kerajaan MADANI.

“Bila kita tumpu kepada agenda pembasmian kemiskinan, ia akan mencakupi setiap kumpulan masyarakat tanpa mengira bangsa atau agama. Tak timbul soal mengutamakan satu-satu kaum, kerana ia dilakukan secara berperingkat.”

“Misalnya MITRA bukan satu-satunya bantuan kepada masyarakat India, ada juga dibawah TEKUN. Begitu juga Amanah Ikhtiar, bukan hanya kepada golongan bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Heawood di sini, hari ini.

SKJT Heawood telah beroperasi pada 11 Mac 2024, pada permulaan sesi persekolahan 2024/2025 yang lalu.

Sekolah di atas tanah seluas 2.4 hektar itu menelan kos sebanyak RM13.19 juta, dan mempunyai satu kelas pra-sekolah yang memanfaatkan 25 orang murid.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini